fb fb fb fb fb

Tiga daerah 'hotspot' kemalangan musim perayaan di Kedah dikenalpasti


ALOR SETAR, 25 April- Daerah Kuala Muda, Kota Setar dan Kubang Pasu di Kedah dikenalpasti sebagai tiga kawasan 'hotspot’ berlakunya kemalangan menjelang musim perayaan.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri, Azman Nasrudin berkata jalan persekutuan dan jalan negeri dijangka mencatatkan kadar kemalangan tinggi terutamanya membabitkan kemalangan maut.

" Penggunaan jalanraya di jalan persekutuan, jalan dalam ni memang tinggilah, simpang banyak lampu isyarat, pengguna jalan yang lain juga ramai pejalan kaki, yang menaiki basikal, antara faktor - faktor terjadinya kemalangan. Kalau sedikit sahaja kesilapan berlaku kecuaian, boleh mengakibatkan kemalangan sebab itu jalan persekutuan negeri kadar kemalangan lebih tinggi daripada lebuh raya," katanya.

Terdahulu Azman melancarkan Kempen Keselamatan Jalanraya dan Ops Bersepadu Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Kedah 2022 di Alor Setar.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Abdul Rahman Emang Ayie dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kedah, Superintenden Mohd Mahiri Hussain.


(Azman Nasrudin pada program Kempen Keselamatan Jalanraya dan Ops Bersepadu Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Kedah 2022 di Alor Setar)

Jelasnya berdasarkan indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di Kedah adalah pada kadar 2.76 peratus.

Berdasarkan rekod, sebanyak 406 kematian daripada 18,414 kemalangan jalan raya di Kedah dicatatkan tahun lalu.

Daerah Kuala Muda mencatatkan kematian tertinggi iaitu 90 kes, diikuti Kota Setar dengan 61 kes dan Kulim pula sebanyak 65 kes.

Ujarnya, 68 peratus daripada jumlah itu merupakan kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal .

Azman yang juga Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan,Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India berkata tahap kesedaran masyarakat Kedah terhadap keselamatan jalan raya masih membimbangkan.

Justeru beliau berkata usaha advokasi dengan kerjasama erat pelbagai pihak amat diperlukan.

Media Baharu