BANGI, 25 April- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan punca yang menyebabkan guru bersara lebih awal termasuk mencari pendekatan sesuai untuk menanganinya.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, data kementerian menunjukkan pola persaraan awal itu adalah sama antara 2017 hingga kini.
"Terdapat kohort umur yang kita telah lihat dan perincikan, saya akan cari apakah pendekatan yang sesuai dalam konteks guru yang bersara awal.
Data yang kami ada, bermula tahun 2017 sama sehingga 2022 cuma data yang sebelum itu agak terhad sedikit, sebab itu kita masih buat perincian," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gegar-18 (Generasi Penamat Anti Merokok) di sini.
(Datuk Dr Radzi dalam sidang media selepas melancarkan Gegar-18 di SMK Bandar Seri Putra)
Sementara itu beliau menegaskan, pihaknya akan meneliti tindakan yang akan diambil terhadap guru yang membuat siaran langsung di media sosial ketika mengajar di sekolah.
Pelbagai perkara akan diperhalusi sebelum pemakluman dibuat kepada guru dalam masa terdekat.