KUALA LUMPUR, 19 November – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) tidak memaksa atau menyebabkan Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat (AS), tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan sekali lagi tuduhan kononnya ART mengikat atau menggadaikan kedaulatan negara adalah tidak berasas.
Menurutnya, Malaysia kekal bebas menentukan dasar perdagangan dan hubungan luar, termasuk dalam sektor nadir bumi, semikonduktor, mata wang dan strategi antarabangsa lain.
"Tidak benar dakwaan kononnya perdagangan nadir bumi kita terbatas kepada Amerika Syarikat.
"Kita baru saja memeterai kerjasama super magnet dengan Korea, manakala PETRONAS–Khazanah sedang memuktamadkan usaha sama nadir bumi dengan China.
“Jika benar kita ‘terikat’, semua ini pastinya terhenti,” katanya.
Dalam sektor semikonduktor pula, beliau menegaskan keputusan pelaburan kekal ditentukan Malaysia, termasuk pelaburan Jerman dan China yang bebas mengeksport cip ke China tanpa sebarang sekatan.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan bahawa perdagangan mata wang seperti ringgit–yuan, ringgit–baht dan ringgit–rupiah diteruskan tanpa halangan, membuktikan tiada satu pun dasar perdagangan negara disekat akibat ART.
“Malaysia juga terus hadir dalam BRICS meskipun Amerika Syarikat mengambil pendirian keras, malah saya sendiri akan menghadiri sidang G20 di Afrika Selatan walaupun AS memboikot,” katanya.
Beliau menegaskan sekali lagi bahawa ART tidak mengikat, mengekang atau memaksa Malaysia tunduk kepada mana-mana kuasa besar.
“Malaysia kekal merdeka, bebas dan berdaulat. Dasar negara kekal ditentukan oleh kita sendiri,” katanya.