KUALA LUMPUR, 19 November - Kerajaan memperkukuh pendidikan Islam di semua peringkat melalui pelbagai peruntukan khusus dalam Belanjawan 2025 termasuk tumpuan kepada sekolah rendah agama, sekolah pondok dan institusi tahfiz.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kerajaan menyediakan RM2 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, merangkumi pendidikan, peranan guru serta pemerkasaan institusi pendidikan Islam di seluruh negara.
"Kerajaan melalui Belanjawan 2025 telah membuat beberapa pengumuman dan peruntukan khusus untuk memperkukuh pendidikan Islam di peringkat rendah, pondok dan tahfiz dalam memastikan kualiti pendidikan Islam berada pada tahap terbaik," katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan di Dewan Rakyat di sini.
Tambah beliau, sebanyak RM150 juta disalurkan bagi kerja penyelenggaraan dan menaik taraf lebih 1,250 institusi pendidikan Islam berdaftar, termasuk sekolah agama rakyat dan pusat tahfiz.
Kerajaan turut menambah 1,500 kuota baharu guru Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) menjadikan jumlah keseluruhan 36,500 orang, selaras peningkatan jumlah murid daripada 1.3 juta kepada 1.4 juta orang.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM730 juta setahun bagi elaun imam, guru KAFA dan guru takmir, manakala sumbangan khas RM500 pula diberikan kepada lebih 70,000 individu termasuk bilal, siak dan marbut.
Kadar wang saku pelajar di institusi pendidikan Islam dan dakwah seperti Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), IKEMAS dan Darul Quran turut dinaikkan antara RM100 hingga RM200 mengikut program masing-masing, bagi membantu kos hidup dan pengajian.
Dr Zulkifli menegaskan kerajaan Persekutuan bersama pihak berkuasa agama negeri akan terus memantau perlaksanaan semua inisiatif agar manfaatnya sampai sepenuhnya kepada penerima.