fb fb fb fb fb

Tol percuma, diskaun di 30 lebuh raya Aidilfitri ini

(Tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus pula akan diberikan kepada
lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan/FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 25 April- Tol percuma dan diskaun akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya bermula pada pukul 12 tengah malam 30 April 2022 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan mengumumkan, langkah itu dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.

“Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi.

“Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT),” katanya.

“Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara–Selatan dan LPT turut akan diberikan laluan pulang semula ke kediaman masing-masing bermula pukul 12 tengah malam pada 7 Mei (Sabtu) hingga pukul 11.59 malam pada 8 Mei depan (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

“Tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus pula akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan,” jelas beliau.

Tambah beliau, pemberian tol percuma dan diskaun sempena perayaan Aidilfitri itu diharap akan memeriahkan lagi sambutan bersama-sama orang tersayang.

“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

"Saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini.

"Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya," katanya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi kenyataan mengumumkan
langkah pemberian percuma dilakukan selepas sesi rundingan
bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya/FOTO FAIL)


Senarai lebuh raya yang menawarkan tol percuma:
1. Lebuhraya Utara Selatan (Plus)
2. Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah
(ELITE)
3. Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH)
4. Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)
5. Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA)
6. Jambatan Pulau Pinang (JPP)
7. Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1
8. Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2
9. Lebuhraya KL - Karak (KLK)

Senarai lebuh raya yang menawarkan diskaun 50 peratus:
10. Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
11. Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP)
12. Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA)
13. Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
14. Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
15. Lebuhraya Bertingkat Ampang - KL (AKLEH)
16. Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX)
17. Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE)

Media Baharu