BAKU (Azerbaijan) 19 November – Pakistan, Uganda dan Bulgaria menyatakan minat untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam pertukaran maklumat berkaitan teknologi dan telekomunikasi.
Menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari ketiga-tiga negara berkenaan di luar Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) yang berlangsung di sini.
Beliau berkata pertemuan dengan Menteri Negara bagi Teknologi Maklumat dan Komunikasi & Penerangan Uganda, Godfrey Baluku Kabbyanga Kiime, membuka ruang kerjasama dalam pertukaran maklumat antara kementerian kedua-dua negara.
“Ia bersifat terbuka dan memberi peluang untuk kita meneliti serta bertukar pandangan mengenai dasar yang dilaksanakan. melalui maklumat yang dikongsi, mungkin ada perkara yang boleh diambil kira bagi menambah baik dasar di Malaysia,” katanya kepada media selepas mesyuarat berkenaan.
Uganda turut berminat mempelajari pendekatan Malaysia dalam meningkatkan penggunaan internet rakyat berikutan cabaran negara itu dari aspek peranti dan literasi digital.
Dalam pertemuan bersama Menteri Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Pakistan, Shaza Fatima Khawaja, Pakistan berminat memahami kejayaan Malaysia khususnya dalam sektor semikonduktor dan ekonomi digital.
Sementara itu, perbincangan dengan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Bulgaria, Dimitar Nedyalkov, turut menyentuh cadangan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang berkaitan telekomunikasi.
“Saya melihat setiap dari satu negara ini ada peluang yang baik untuk kita bertukar padangan, fikiran, pengalaman dalam bidang telekominikasi dan juga aspek-aspek keselamatan siber, kepenggunaan dalam ekonomi digital dan beberapa aspek yang lain” kata beliau.
Ketiga-tiga sesi mesyuarat itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, serta Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi, Ahmad Norhad Zahari.