fb fb fb fb fb

BECS2025 komitmen Sabah perkukuh keselamatan siber serantau

Foto Facebook JPKN

KOTA KINABALU, 19 November - Sabah terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab keselamatan siber serantau menerusi penganjuran BIMP-EAGA Cyber Security Summit 2025 (BECS2025) bertempat di Sabah International Convention Centre hari ini.

Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dengan kerjasama Sabah Net Sdn Bhd, berjaya menghimpunkan kira-kira 200 peserta selain kehadiran delegasi jemputan dari negara Brunei, Indonesia dan Filipina.

Persidangan bertaraf serantau yang mula dianjurkan sejak tahun 2023, kini memasuki edisi ke-15 telah mencatat sejarah tersendiri apabila menampilkan 19 penceramah, panelis dan moderator ; angka tertinggi dalam penganjurannya setakat ini.

BECS2025 bertujuan bagi meningkatkan keupayaan keselamatan siber sektor awam, memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih efisien, selamat dan berfokus kepada keperluan rakyat.

Pelbagai topik keselamatan siber semasa akan dibentangkan melalui ceramah dan forum, meliputi konsep, teknologi terkini serta cabaran baharu dalam ekosistem digital.

Penganjuran BECS2025 turut mengukuhkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan keselamatan siber kekal sebagai agenda utama dalam pentadbiran digital, sekaligus memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dalam perkhidmatan kerajaan.

Persidangan ini dijangka terus menjadi platform penting bagi perkongsian pengetahuan, kerjasama serantau dan pembangunan keupayaan keselamatan siber pada masa hadapan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN