fb fb fb fb fb

Strategi pembangunan REE dilaksana secara berfasa

Galak pelaburan pembinaan loji penulenan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 November - Strategi pembangunan industri nadir bumi (REE) dilaksana secara berfasa merangkumi jangka pendek (2025-2027), jangka sederhana (2027-2030) dan jangka panjang selepas 2030.

Kesediaan itu, terutamanya untuk jangka pendek bagi menggalakkan pelaburan pembinaan loji penulenan, pemisahan serta penghasilan produk bernilai tambah dalam negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan, walaupun negara mempunyai sumber REE yang signifikan, pembangunan dasar tidak dapat dilaksana dengan pantas disebabkan beberapa cabaran utama.

"Antaranya ketiadaan kepakaran dan teknologi tempatan pada skala komersial untuk melaksanakan aktiviti perlombongan REE, sekali gus memerlukan negara bergantung kepada teknologi luar untuk menjalankan aktiviti perlombongan.

"Malaysia juga masih belum mempunyai loji pemprosesan yang mampu memisahkan unsur REE bernilai tinggi secara komersial, selain rantaian nilai global bagi pemprosesan dan pemisahan REE yang kini didominasi China,"katanya di Dewan Rakyat.

Selain itu, data komprehensif berkaitan lokasi, kuantiti, gred dan status guna tanah sumber memerlukan kajian terperinci.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kubang Pasu yang ingin tahu mengenai cabaran yang dihadapi bagi membangunkan industri REE negara serta perancangan dan pendekatan kerajaan untuk mengatasi cabaran-cabaran itu supaya dapat membuka potensi nadir bumi.

FAUZIAH ABD RAHMAN