SHAH ALAM , 19 November - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) kali ke-103.
Konvokesyen kali ini mencatat dua detik penting apabila Tan Sri Idris Jusoh dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu sekali gus mengukuhkan kepimpinan universiti dalam agenda akademik dan pembangunan strategik.
Tokoh akademik dan jurutera profesional Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib menerima gelaran Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan terhadap lebih tiga dekad jasa beliau dalam bidang kejuruteraan awam serta sumbangan berterusan kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.
"Tahniah kepada Tan Sri Idris Jusoh atas pelantikan sebagai Pro-Canselor UiTM. Tahniah juga atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib. Saya berharap pelantikan dan anugerah gelaran tersebut akan membawa kejayaan yang lebih cemerlang kepada universiti ini," titah baginda.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, bersama barisan Pro-Canselor, Lembaga Pengarah Universiti, pengurusan tertinggi UiTM, alumni, penaja anugerah serta tetamu kenamaan.
Istiadat yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam menyaksikan seramai 32,630 graduan menerima diploma dan ijazah pelbagai bidang.
Daripada jumlah tersebut:1,215 graduan merupakan graduan pascasiswazah dan 15 graduan menerima Anugerah Graduan Terbaik atas kecemerlangan akademik dan sahsiah.
Dalam pada itu Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menucapkan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga, ahli keluarga, pensyarah serta warga pentadbiran universiti yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan para graduan.
Beliau mengingatkan bahawa pendidikan UiTM bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi pembentukan adab, jati diri dan amanah sebagai anak bangsa.