SHAH ALAM, 19 November – Kes jenayah berat melibatkan pelajar telah mencetuskan kebimbangan serta menjejaskan imej institusi pendidikan, sekaligus mencerminkan keretakan nilai moral dalam kalangan generasi muda.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, isu berkenaan bukan sekadar urusan sekolah, sebaliknya menjadi tanggungjawab sosial semua pihak.
"Pembentukan moral tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah atau universiti, sebaliknya harus bermula dari rumah. Pendidikan dan pembentukan sahsiah, bukan hanya di kampus atau bilik darjah, tetapi dibentuk melalui kehidupan seharian di rumah.
“Rumah merupakan madrasah pertama bagi setiap insan dididik dengan nilai mulia, disiplin dan tanggungjawab. Nabi Muhammad SAW mengingatkan tiada pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab dan akhlak yang baik,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103.
Baginda turut bertitah, bagi keperluan jangka panjang, sekolah serta institusi pendidikan perlu menjalani reformasi yang menitikberatkan pembangunan insaniah dengan memberi penekanan kepada elemen kemanusiaan, moral, kawalan emosi serta kesedaran undang-undang.
Menyentuh mengenai pendedahan kandungan ganas serta penggunaan teknologi digital secara tidak terkawal, Sultan Ibrahim bertitah sekatan teknologi bukan penyelesaian.
Sebaliknya, usaha padu semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat berupaya menangani isu sosial berkenaan.