KUALA LUMPUR, 19 November - Malaysia kini pada fasa akhir memuktamadkan penubuhan Pemerintahan Cyber dan Elektromagnetik Pertahanan (PCEP) yang disifatkan sebagai langkah utama dalam pelan peralihan teknologi pertahanan negara ke arah ‘smart military’.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata PCEP akan menjadi teras kepada pasukan siber khusus negara, dengan pelancarannya dijangka berlangsung pada Disember ini.
Menurutnya, pembangunan keupayaannya dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“PCEP akan menjadi pusat graviti operasi siber dan elektromagnetik, selain menyokong pelaksanaan konsep Angkatan Masa Hadapan yang merangkumi pembangunan doktrin, struktur dan aset berteknologi tinggi untuk persekitaran peperangan digital,” katanya ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (Parit) pada sesi Dewan Rakyat hari ini.
Selaras penubuhan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menubuhkan Cyber Force, pasukan siber khusus yang berperanan memperkukuh pertahanan aktif negara.
Katanya, pasukan itu akan melaksanakan operasi pencegahan dan bekerjasama dengan rakan strategik serantau menangani ancaman siber.
“Sasaran akhir adalah menjadikan PCEP sebagai formasi berkeupayaan penuh menjelang 2030, sekali gus memastikan penguasaan ATM dalam domain siber dan elektromagnetik berada pada tahap terbaik,” katanya.
Adly berkata usaha peralihan pertahanan menumpukan kecerdasan buatan (AI), automasi sistem senjata dan keupayaan peperangan siber yang menjadi sebahagian langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap ancaman moden yang semakin kompleks.