KUALA LUMPUR, 19 November – Pekebun kecil lada di Sarawak terus diberi keutamaan selari dengan usaha kerajaan memperkasa dan memulihkan kegemilangan industri berkenaan yang terjejas akibat peningkatan kos penyelenggaraan, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pelbagai langkah strategik sedang dilaksanakan melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) bagi memastikan pendapatan pekebun kecil dapat dipertahankan dalam persekitaran kos yang semakin meningkat.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyaluran input pertanian seperti baja, racun pertanian dan dolomite melalui Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) di bawah Program Pembangunan Huluan Industri Lada. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan memperuntukkan RM59.6 juta bagi program ini,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut menyediakan RM3 juta di bawah Program Pembangunan Pengeluaran Lada Premium (PPLP) bagi tempoh 2022 sehingga 2025.
Ini bagi menggalakkan penghasilan lada premium berkualiti tinggi yang menawarkan pulangan lebih baik kepada pekebun.
Di Serian sahaja, seramai 896 pekebun menerima manfaat STLB bernilai RM4.47 juta melibatkan 113.9 hektar tanaman, manakala 1,622 pekebun menikmati bantuan STLM berjumlah RM5.37 juta dengan keluasan 259.4 hektar sepanjang RMKe-12.
Johari menjawab soalan Datuk Seri Dr Richard Riot Anak Jaem (Serian) yang meminta penjelasan mengenai langkah membantu pekebun kecil lada di Sarawak.