fb fb fb fb fb

Banjir: Segera berpindah jika diarah - JBPM

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 19 November - Penduduk di kawasan berisiko sekali lagi diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah sekiranya diarahkan.

Peringatan daripada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zuklifli itu ekoran amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan MetMalaysia yang bermula hari ini sehingga Jumaat.

"Hebahan dan peringatan berkenaan bagi memastikan proses menyelamat lancar dan mengelakkan insiden kehilangan nyawa apabila situasi luar jangka berlaku," jelasnya.

Susulan amaran itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu menyenaraikan Besut, Hulu Terengganu dan Setiu sebagai daerah berisiko.

"Sekiranya berlaku hujan lebat berterusan yang bertembung dengan air pasang besar, kemungkinan untuk berlaku banjir itu lebih tinggi.

"Kita banyak menggunakan lori untuk operasi menyelamat disebabkan faktor muka bumi di negeri ini. Penggunaan lori dilihat lebih efisien," jelasnya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu di konti Terengganufm.

Muhammad Azrul Izzham memaklumkan, enam kampung terlibat di daerah Besut iaitu Kampung keruak, Belaoh, Kampung La,  Batu 13, Kampung Bekok dan Bukit Payong.

Jelas beliau, 70 anggota dan pegawai bomba daerah itu akan dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Hulu Besut, Jerteh dan Kampung Raja.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN