KUALA LUMPUR, 19 November - ASEAN perlu bertindak secara kolektif dalam menangani kesan kenaikan tarif dengan memperjelas peraturan tempasal, mengatasi kelemahan dalam pindahan kapal dan mewujudkan jaminan bagi lencongan perdagangan serta membangunkan mekanisme perlindungan terhadap lencongan perdagangan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ia bagi memudahkan perdagangan tulen dan mengurus kapasiti berlebihan dari kawasan serantau.
"Manakala, dalam jangka masa panjang, keutamaan adalah untuk memperdalam integrasi serantau dan menegakkan multilateralisme pragmatik. Ini bermakna mempercepatkan pelaksanaan pelbagai perjanjian.
"Ia termasuk Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijangka siap tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan pada Persidangan ke-48 Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN (FAEA) di sini, hari ini.
Perjanjian itu mampu meningkatkan sumber intra-serantau, mengurangkan kos menjalankan perniagaan, serta memperkukuh perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Pada masa sama, beliau berkata, ASEAN mesti mempelbagaikan dan memperkukuh perkongsian perdagangan, terutamanya dengan negara ekonomi maju dan negara sedang membangun yang lain.
Ia termasuk memperkukuh hubungan ekonomi bersama negara China, Jepun dan Korea yang bukan sahaja merangkumi budaya dan nilai, tetapi rantaian nilai dalam pelbagai industri.
"Di luar Asia, memperdalam perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Latin menawarkan laluan yang jelas untuk mempelbagaikan perkongsian dan membuka bidang pertumbuhan baharu," katanya lagi.