KUALA LUMPUR, 19 November - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangka pelaksanaan program advokasi nuklear yang lebih komprehensif dengan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta pihak industri yang berkepentingan.
Menterinya, Chang Lih Kang memaklumkan lapan inisiatif digariskan dalam program tersebut bertujuan meningkatkan tahap penerimaan dan pengetahuan rakyat terhadap sains dan teknologi nuklear.
"Pertama, program jangkau luar pendidikan nuklear ke sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat. Kedua, pelaksanaan pelan komunikasi dasar teknologi nuklear negara.
“Ketiga, program kejurulatihan communicator nuclear serta sesi libat urus dengan pemegang taruh dan masyarakat setempat di fasiliti nuklear. Keempat, program latihan kemahiran dan pembangunan kepakaran tenaga kerja tempatan K-workers,” katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berhubung kebersediaan negara dalam membangunkan tenaga nuklear termasuk tahap penerimaan rakyat serta rancangan peningkatan keupayaan menangani krisis di Dewan Rakyat di sini.
Empat inisiatif lain yang turut dirangka adalah latihan industri dan kolaborasi pembangunan dan penyelidikan, program promosi bersasar, kolaborasi strategik serta hari terbuka dan pameran interaktif.