
KULIM, 18 Januari – Seorang pekerja kilang bersama dua anak lelakinya maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kob, petang tadi.
- Kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Kulim-Mahang berhampiran SMK Sungai Kob petang tadi.
- Seorang pekerja kilang dan dua anak lelakinya maut di lokasi kejadian.
- Pemandu kenderaan lain belum dapat dipastikan tahap kecederaan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; mayat dibawa ke Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada sekitar pukul 5.15 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan yang dinaiki mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Nahas tersebut mengorbankan Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Affan Mikhael, 2, dan Muhammad Aqeel Afnan, 4, yang disahkan meninggal dunia di lokasi.
Manakala pemandu sebuah lagi kenderaan belum dikenal pasti tahap kecederaan.
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.