fb fb fb fb fb

Tiga beranak maut dalam kemalangan

MELAKA, 28 Oktober- Percutian sebuah keluarga ke Port Dickson bertukar tragedi selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara) berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat,Alor Gajah jam 11 pagi tadi.

Mangsa Muhammad Nazirul Syafiq Azmi dan Zubaidah Abd Rajak masing-masing 28 tahun serta anak lelaki mereka Muhammad Rizqi berusia satu tahun maut dilokasi kejadian.


(Suami isteri dan bayi usia setahun maut dilokasi kejadian)

Bapa allahyarham Zubaidah, Abd Rajak Sakiman ketika ditemui pemberita berkata, dia bertolak ke Port Dickson dari rumahnya di Muar, manakala allahyarham Zubaida sekeluarga bertolak dari Johor Bahru menaiki kereta berasingan.

Bagaimanapun, dia mula berasa pelik selepas anak keenam daripada tujuh beradik itu masih tidak tiba selain gagal untuk dihubungi sebelum dimaklumkan mereka sekeluarga terbabit kemalangan.

"Habis sudah pukul 1 lebih tidak sampai-sampai, apa jadi pun tidak tahu, hati pun fikir dan termenung ini lain macam ni, tapi diam je dulu, saya tidak bagi tahu orang rumah, lepas tu dah habis makan hari hendak hujan kelam kabut kemas tengok -tengok dia orang telefon menantu saya, dan kawan dia hantar gambar kereta dalam whatsapp, tunjuk kereta anak kemalangan,"kata Abd Rajak Sakiman

Beliau yang ditemui di Hospital Alor Gajah berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun redha dengan pemergian anak, menantu dan cucunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian sebuah lori sedang menjalankan kerja pembaikan pembahagi jalan tengah dan telah berhenti di lorong kanan serta dalam proses meletakkan kon.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan yang menaiki kereta jenis Honda Jazz itu datang dari arah belakang dan melanggar lori berkenaan.

Akibat pelanggaran tersebut, ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Media Baharu