PEKAN, 28 Oktober - Penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah negeri Pahang diingatkan agar tidak menjual atau menukar hak milik kediaman sebaik sahaja menerimanya.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku, tempoh moratorium dikenakan.
Titah baginda, moratorium 10 tahun yang tidak membenarkan sebarang bentuk pembelian atau sewaan kediaman itu sebagai menghargai sumbangan Pertubuhan Palang Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) Negeri Pahang kepada golongan miskin negeri itu.
"Saya harap apa yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tentang moratorium ini perlu diambil kira secara serius, jangan pula apabila sudah terima rumah ini soal mahu jual la... soal hendak lepas tangan akan datang ke buah fikiran kita, kalau boleh biarlah rumah ini hingga ke anak cucu," titah Seri Paduka Baginda di sini.
Pemilik rumah kuniaan itu juga perlu mematuhi prasyarat yang telah ditetapkan terlebih dahulu selain mendapat kebenaran pegawai daerah sekiranya masih ingin menjualnya.
Dalam pada itu, baginda bertitah pemaju yang mengendalikan projek perumahan sebanyak 123 unit ini dititah untuk menyegerakan pembinaan sebelum tibanya musim tengkujuh, tahun ini.
Ini ekoran, kebanyakan penerima di negeri ini merupakan penduduk terjejas banjir.
(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,
ketika bertitah pada majlis Majlis Pelancaran Projek Perumahan
dan Penyampaian Watikah Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir)
"Saya harap pihak kontraktor dapat usaha percepatkan walaupun terpaksa bekerja dalam hujan. Tolonglah supaya mereka dapat berpindah secepat mungkin," titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Watikah Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Sumbangan Pertubuhan Palang Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) Negeri Pahang di Pusat Pemindahan Sementara Kampung Temai Hulu, Pekan.
Turut hadir, Duta ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith, Pengerusi Pertubuhan Palang Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Projek berjumlah RM12.175 juta itu melibatkan enam daerah termasuk Pekan, Bentong, Temerloh dan Raub.