KUALA LUMPUR, 3 Oktober -Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengesahkan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel mula tiba di pelabuhan Ashdod, Israel pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu berkata, pasukan peguam GSF telah mula menghubungi mereka bagi menyediakan khidmat guaman.
“Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman.
Paling awal, esok pagi kami akan kongsikan perkembangan mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.
Muhammad Nadir Al-Nuri, yang mengetuai panji Sumud Nusantara, kini masih berada di Laut Mediterranean bersama tiga lagi sukarelawan Malaysia.
Mereka menaiki Jong Melayu yang berfungsi sebagai kapal pemerhati.