SEPANG, 2 Oktober - Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan tentera Israel.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua mereka ditahan pada pukul 4.25 petang tadi, selepas komunikasi terputus dan berdasarkan visual penahanan kesemua aktivis terbabit.
"Berdasarkan keputusan ataupun delegasi pertama, SNCC mengesahkan pada pukul 4.25 petang waktu Malaysia bahawa kesemua 23 delegasi Malaysia telah ditahan.
"Menurut prosedur operasi standard (SOP), hubungan komunikasi dengan mereka telah terputus dan berdasarkan visual yang diterima, kesemua delegasi berkenaan dilihat telah ditahan Pasukan Pertahanan Israel (IDF)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Berdasarkan laporan kapal-kapal seperti Sirius, Estella dan Alma telah mula masuk ke pelabuhan Ashdod kira-kira 40 kilometer dari Tel Aviv.
SNCC turut menjangkakan kemungkinan sebahagian daripada delegasi juga telah dipindahkan ke darat ketika ini.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Yang lain termasuk Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.