PUTRAJAYA, 2 Oktober - Kesemua 15 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) pada hari ini, berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Mereka akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.
Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat, termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam perkara tersebut.
"Arahan telah dikeluarkan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama Kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
“Kerajaan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara. Penahanan peserta GSF tidak sah, dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” katanya.