(Keadaan motosikal dan MPV yang terlibat kemalangan di Pekan, Pahang/Polis Pekan)
PEKAN, 24 Jun- Tiga beradik maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, serta dua adiknya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati pemandu MPV bersama enam penumpang dalam perjalanan dari arah Taman Jambu, Pekan menghala ke Kuantan.
Sementara penunggang motosikal pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Lamir menghala ke Kampung Langgar.
Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV yang datang dari arah hadapan.
Pemandu MPV cedera pada tangan kiri, seorang penumpang sakit tangan dan seorang lagi penumpang yang merupakan warga emas kini sedang menerima rawatan di Hospital Pekan.
Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
(Salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Pekan, Pahang/
Polis Pekan)