KOTA KINABALU, 8 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan yang beliau tidak mahu melayan sebarang politik yang bersifat perkauman, sebaliknya memfokuskan agenda ekonomi negeri dan rakyat.
Justeru beliau menggesa pimpinan negeri termasuk di Sabah memastikan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
"Pastikan negeri ini aman. Pastikan juga pimpinan boleh membawa mesej Sabah dan mereka boleh bekerjasama kuat dengan kerajaan persekutuan.
"Fokus perlu diberi kepada pembangunan ekonomi kerana anak-anak kita mahukan peluang pekerjaan. Mereka mesti mendapat latihan yang lebih baik. Jadi kita perlu ada penambahbaikan termasuk infrastruktur, pendidikan dan kesihatan," ujar Perdana Menteri.
Beliau menegaskan perkara itu ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Persatuan Industri Sabah, di sini.