KOTA KINABALU, 8 November - Semua kepimpinan negara dan negeri diminta bekerjasama dan fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat di mata dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Madani kini menumpukan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kekuatan ekonomi.
"Fokus perlu diberi kepada usaha memperkukuh kekuatan ekonomi negara. Negara ini satu amanah.
"Kita dihormati kerana dasar yang diamalkan dan situasi politik yang berlaku. Mereka tahu fokus kita untuk memastikan Malaysia berjaya dan menjadi hebat dengan kekuatan ekonomi. Ini penting," tegas Datuk Seri Anwar.
Tambah beliau, Malaysia perlu bersifat terbuka dan menjalin hubungan serta kerjasama baik dalam memastikan dasar ekonomi MADANI berjaya.
"Orang marah saya sebab terlalu baik dengan China dan Amerika Syarikat. Saya tidak peduli, kerana saya mahu menjaga Malaysia supaya menjadi negara besar.
"Kalau kita mahu berjaya dalam ekonomi, kita kena berkawan dengan semua," ujar Perdana Menteri dalam ucapannya pada Sesi Ramah Mesra Bersama Persatuan Industri Sabah, di sini.