fb fb fb fb fb

KPM buka ruang kerjasama dengan alumni sekolah, perkukuh bangun generasi baharu

Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 8 November - Kementerian Pendidikan (KPM) terus membuka ruang kerjasama bersama alumni sekolah dalam usaha memperkukuh pembangunan generasi baharu selain memastikan kecemerlangan secara holistik dan berdaya saing.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kejayaan para alumni bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada pihak sekolah, malah wajar dijadikan inspirasi kepada pelajar untuk terus berjaya pada masa hadapan.

"Justeru, kita amat memerlukan penglibatan alumni, dan saya membuka seluas-luasnya ruang kerjasama antara kementerian, khususnya Pejabat Parlimen Nibong Tebal bersama alumni sekolah, bagi menjayakan segala usaha dan memastikan pendidikan anak-anak kita terus menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pai Teik di sini.

Majlis itu turut dihadiri Pengetua SMK Methodist Nibong Tebal, Dr. S. Sivasanggar.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa KPM terus menumpukan usaha berterusan kepada dua agenda besar sistem pendidikan negara pada masa kini.

Ia melibatkan Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan prasekolah pada tahun hadapan.

"Ketika ini terdapat dua agenda besar pendidikan negara, iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu dan Kurikulum 2027, yang akan mula dilaksanakan di peringkat prasekolah pada tahun 2026.

"Kedua-dua agenda ini akan memberi kesan langsung kepada sistem pendidikan negara dan sudah tentu memerlukan sokongan daripada semua pihak, khususnya komuniti, bagi bersama-sama membentuk sahsiah dan karakter anak-anak kita," katanya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada SMK Methodist Nibong Tebal sebagai usaha menyokong kelangsungan pendidikan dan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI