(FOTO FB KPDN Laman Rasmi)
JOHOR BAHRU, 24 Jun- Inisiatif kerajaan di bawah payung Rahmah diperluaskan lagi dengan memperkenalkan pakej Tuisyen Rahmah secara dalam talian menerusi iTTV e-Learning bermula hari ini.
Pakej tersebut dijangka akan dapat dimanfaatkan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara khususnya keluarga kurang berkemampuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia dilaksana bertujuan membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tambahan.
"Pakej ini menyasarkan murid sekolah bermula daripada tahun empat sehingga tingkatan lima dengan penyediaan lebih 3,000 video tutorial berdasarkan sukatan kurikulum Kementerian Pendidikan.
"Pihak pengendali turut memberikan harga diskaun sehingga 50 peratus kepada pelajar seluruh negara yang berminat.
"Ini sudah pasti akan menggembirakan ibu bapa dan pelajar-pelajar yang tidak perlu bergerak ke mana-mana tapi duduk di rumah secara online akan mendapat pembelajaran melalui Pakej RAHMAH ITTV E-Learning ini," katanya.
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)
Tambah Salahuddin, Pakej Rahmad iTTV e-Learning bermula serendah RM5 sebulan kepada murid tahun empat sehingga RM15 sebulan buat pelajar tingkatan empat dan lima mengikut subjek masing-masing, berbanding harga biasa yang mencecah RM22 sebulan.
Beliau berkata demikian pada sidang medi selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, di Johor Bahru hari ini.
Hadir sama, Pengerusi iTTV Education Sdn Bhd, Datuk Aziz Bakar.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah adalah manifestasi keprihatinan dan kasih sayang Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Malaysia.