(Keadaan kereta Perodua Myvi yang terlibat kemalangan dengan sebuah treler
di KM16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik/ Foto JBPM)
GERIK, 24 Jun- Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Dalam kejadian sekitar pukul 1 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nasir, 51, memandu kereta jenis Perodua Myvi dan isteri, Rohaya Harun, 46, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian.
Manakala anak mangsa Mohamad Amir Zaqwan, 14 tahun, Nur Auni Batrisya, 12 tahun dan Mohamad Zarith, 7 tahun dilaporkan cedera parah.
(Anggota dari BBP Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 1.10 petang)
Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, kejadian berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Jeli.
"Sepasukan anggota dari BBP Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 1.10 petang.
"Kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan sebuah treler muatan simen dipandu lelaki berusia 50 tahun.
"Terdapat enam mangsa terlibat dalam nahas itu dan dua daripada mereka disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, katanya.
Pemandu treler yang terlibat disahkan selamat dan operasi tamat sekitar pukul 2.45 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan maut itu tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gerik bagi memberikan maklumat.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.