fb fb fb fb fb

Iswara terbalik, suri rumah maut elak lori di Pekan

(Keadaan kereta mangsa yang terbalik di Pekan, Pahang/Polis Pekan)

PEKAN, 24 Jun- Seorang suri rumah maut, manakala lima penumpang termasuk empat kanak-kanak terselamat selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 45, Jalan Pekan-Salong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.05 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Iswara, Noorain Moktar, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin dalam kenyataan berkata, tiga penumpang berusia satu hingga 11 tahun cedera di muka, manakala dua lagi penumpang berusia lapan dan 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Siasatan awal mendapati mangsa bersama penumpang lain dalam perjalanan dari arah Felda Chini, Pekan menghala ke Gambang, Kuantan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah lori dari arah bertentangan yang hampir masuk ke laluannya.
 
Susulan itu, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terbalik.
 
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Foto hiasan)

Media Baharu