NILAI, 24 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) yang melibatkan enam negeri dijangka diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.
Beliau juga menggesa semua parti politik serta jentera parti agar memberi sokongan padu bagi menghadapi PRU DUN kelak.
"Saya minta kerjasama semua bagi sokongan. Mesti ada pilihan raya selewat- lewatnya Ogos,"katanya.
Beliau berucap demikian pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat India di Desa Cempaka, Nilai.
Terdahulu, Anwar tiba kira-kira pukul 1.00 petang di Desa Cempaka, Nilai bagi menghadiri program tersebut yang dihadiri lebih 2,000 masyarakat India.
(Datuk Seri Anwar pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat India
di Desa Cempaka, Nilai/ BERNAMA)
"Sangat gembira sebab PM (Perdana Menteri) datang jumpa kita dalam kesibukan, masih ada masa untuk datang jumpa kita, sangat bersyukur," kata Sujata Ramadevi.
"Saya rasa sangat seronok menyertai majlis ramah mesra, ini baru pertama kali dapat jumpa Datuk Seri Anwar depan-depan, rasa seronok dan bangga," kata
Sumanthi Kumar.
Dalam program tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada enam pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan ADUN Nilai, Arul Kumar.