KUALA LUMPUR, 8 November - Hampir 200 program perpaduan berjaya dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) tahun ini di seluruh negara disokong Bantuan Kewangan Program Perpaduan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, susulan perkembangan positif itu, kementerian akan meneruskan inisiatif tersebut dengan menggalakkan lebih ramai NGO membuat permohonan menerusi Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan seawal Februari tahun depan.
"Untuk tahun ini, kita telah menerima 805 permohonan dan 200 daripadanya diluluskan untuk menerima peruntukan berkenaan.
"Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya yang berlangsung hari ini. Program dilaksana dengan begitu menarik kerana menampilkan pelbagai etnik, malah warga asing turut menunjukkan minat mereka terhadap program sebegini," jelasnya kepada media selepas menyempurnakan perasmian Festival Warisan Perpaduan Budaya Malaysia 2025, di pusat beli belah MyTown, di sini.
Tambah beliau, sambutan yang diterima daripada NGO membuktikan mereka kini lebih proaktif sebagai rakan strategik dalam memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Family Of Charity, Meor Arif Afiq berkata, penganjuran festival tersebut bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini.
"Kami mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menghasilkan sebuah atmosfera atau suasana meriah yang mengumpulkan pelbagai komuniti yang ada di Malaysia.
"Kami cuba membawa menonjolkan keunikan yang ada dalam kepelbagaian ini sepanjang dua hari program berlangsung," ujarnya.