LABUAN, 8 November - Pesta Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bukan sahaja meraikan mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian, malah penganjurannya menjadi platform untuk merapatkan warga kampus dengan komuniti setempat.
Pengarah UMSKAL, Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, Pesta Tamu Gadang merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh universiti.
"Ini kita panggil 'smart partnership', iaitu daripada segi perkongsian ilmu, perkembangan pengalaman dan sebagainya memberi 'real experience', atau pengalaman nyata, kepada anak-anak mahasiswa.
"Ia juga tidak menjadi sesuatu yang kekok bagi komuniti untuk bersama universiti dalam usaha saling meningkatkan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau berlangsungnya aktiviti Pesta Tamu Gadang di sini.
Tambahnya, penganjuran kali ini melibatkan lebih 2,000 orang penduduk.
Sebanyak 19 program dan aktiviti telah disusun sepanjang tiga hari pesta terbabit berlangsung, antaranya pertandingan sukan, pameran agensi kerajaan, bengkel, serta persembahan pentas.
Dalam pada itu, persatuan-persatuan pelajar di kampus turut diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan.
Sementara itu, kira-kira 200 mahasiswa dari UMSKAL akan menamatkan pengajian tahun ini; melibatkan pelajar daripada Fakulti Perkomputeran dan Informatik serta Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.