fb fb fb fb fb

Tiga batalion baharu PGA dilancar, perkukuh keselamatan Sabah, Sarawak

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

PAPAR, 18 Mei- Tiga batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) dilancarkan, sekali gus meningkatkan kekuatan keseluruhan batalion PGA kepada 23 pasukan, melibatkan lebih 12,000 keanggotaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada tiga batalion itu, dua batalion di Sabah iaitu Keningau dan Kunak. Manakala, satu di Sri Aman, Sarawak.

Beliau berkata langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjamin keselamatan negara serta ketenteraman awam.

"Ada tiga perkara penting yang signifikan dalam acara hari ini. Pertama adalah mengisahkan tahap kesiapsiagaan pasukan untuk menghadapi apa juga senario dan cabaran atau ancaman keselamatan. Kedua, peruntukan yang berupa pembelian aset.

"Ketiga, saya angkat tentang kedudukan Malaysia yang baik dari segi ukuran Global Risk Index yang menjadi kayu ukur penting kedudukan Malaysia dari kacamata keselamatan global", katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran PGA 21, 22 dan 23 di Papar, Sabah.

Dalam pada itu, Datuk Saifuddin mahu pasukan keselamatan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan, selain menjadikan insiden pencerobohan di Sabah sebagai iktibar.

Beliau juga mahu pihak PGA terus memainkan peranan penting sebagai pasukan elit PDRM dengan keupayaan operasi di darat, laut dan udara.

Selain itu, elemen teknologi dan kecerdasan buatan juga penting dalam memperkasa peranan pasukan keselamatan.

ROSLINA BINTI DIN