fb fb fb fb fb

Sentuhan Kasih Ibu: Simbol penghargaan & kekuatan keluarga MADANI

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kanan) yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak melihat hasil gubahan pertandingan sirih pinang pada Program Hari Keluarga Parlimen Bandar Tun Razak sempena Sambutan Hari Ibu di Taman Tasik Permaisuri hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei- Lebih 500 keluarga hadir memeriahkan program Sentuhan Kasih Ibu sempena Hari Keluarga Parlimen Bandar Tun Razak, bersempena sambutan Hari Ibu 2025.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan, dengan pelbagai pengisian seperti saringan kesihatan percuma, saringan kanser reproduktif wanita, pertandingan kekeluargaan, aktiviti interaktif ibu dan anak, zumba serta sudut penghargaan khas buat ibu.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam ucapannya, beliau menyeru orang ramai untuk terus menghargai peranan dan pengorbanan ibu bukan hanya pada tarikh tertentu, tetapi setiap hari melalui sokongan, kehadiran dan doa.

Katanya, nilai kekeluargaan perlu terus diperkasa selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan institusi keluarga sebagai asas kepada masyarakat yang sejahtera, inklusif dan stabil.

Tambah beliau, tema sambutan Hari Keluarga Antarabangsa tahun ini, Dasar Berorientasikan Keluarga untuk Pembangunan Lestari, turut bertepatan dengan aspirasi negara ke arah pembangunan menyeluruh.

"Ini amalan di peringkat antarabangsa yang turut dipersetujui oleh Malaysia. Kita mahu pembangunan negara berteraskan nilai MADANI yang menitikberatkan pembangunan modal insan, bukan hanya fizikal," katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi LPPKN, Juwairiya Zulkifli; Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Ir. Hayatul Kamil Termudi.

Program Sentuhan Kasih Ibu merupakan simbolik penghargaan terhadap jasa dan peranan ibu sebagai tunjang keluarga serta membuktikan pentingnya kolaborasi strategik antara agensi dan masyarakat dalam memperkukuh institusi kekeluargaan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE