fb fb fb fb fb

Tidak buat saringan awal faktor kanser tahap tiga dan empat meningkat

(Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kesedaran masyarakat yang rendah dalam melakukan saringan awal kesihatan menjadi antara faktor kes kanser tahap tiga dan empat lewat dikesan dan menyebabkan angka kematian akibat penyakit kronik di negara ini terus meningkat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes yang lewat dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat dari 58.7 peratus bagi tahun 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus sepanjang tahun 2012 hingga 2016.

Katanya, kadar peningkatan peratusan berkenaan berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kajian ' Malaysian Study on Cancer Survival' yang diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan,semakin rendah kadar survival pesakit.

"Saya rasa setiap orang mungkin kenal atau ada ahli keluarga yang pernah menghidap barah atau kanser.

"Ayah saya sendiri meninggal disebabkan kanser, ibu kepada isteri saya juga telah meninggal disebabkan kanser.cuma bapa saya meninggal pada tahun 1992 dan pada waktu itu mungkinpilihan rawatan tak banyak, kesedaran pun tidak berapa meluas, berbanding sekarang.

"Dengan pilihan rawatan yang lebih banyak kesedaran seharusnya turut meningkat, bukan sahaja dari sudut sainsa dan perubatan, malah kesedaran sosial dan agama dengan lebih menyeluruh," katanya.

Justeru Khairy berharap kerjasama pelbagai pihak diperlukan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan serta meningkatkan kesedaran masyarakat dan akses kepada pengesanan dan rawatan awal.

(Khairy menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada enam persatuan kanser di Kuala Lumpur)

Dalam pada itu, katanya situasi sama turut dilihat ketika negara ketika dilanda pandemik COVID-19 dengan kebanyakan pesakit meninggal dunia dalam kalangan individu mengalami komplikasi penyakit lain.dan turut dibimbangi memberi kesan kepada sistem perkhidmatan kesihatan.

"Malaysia menghadapi masalah penyakit tidak berjangkit yang tinggi seperti kencing manis, darah tinggi, kardiovaskular dan lain-lain. Ini merumitkan keadaan sebab ia (membabitkan) dua tiga rangkai penyakit dan kemungkinan untuk sembuh agak rendah disebabkan komplikasi penyakit lain.

"Ini juga dapat dilihat ketika pandemik COVID-19 ramai yang tanya kenapa kadar kematian di Malaysia agak tinggi. Saya boleh katakan bila lihat di hospital, ramai yang meninggal dunia adalah mereka yang mempunyai komorbiditi," katanya ketika berucap pada Program Hari Bersama Pesakit Kanser Sempena Hari Kanser Sedunia 2022, di sini.

Pada majlis sama, Khairy turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada enam persatuan kanser di Kuala Lumpur dan sebanyak 120 bakul kasih berupa barangan keperluan harian kepada pesakit terpilih.

Selain itu, beliau berkata Skim Peduli Kesihatan yang dilaksanakan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu membuat saringan kesihatan secara percuma perlu dimanfaatkan .

"Saya lihat kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama orang Melayu sangat kurang, termasuk mengenai vaksin. Di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa), saringan kesihatan percuma diberikan kepada semua golongan B40 berusia 40 tahun ke atas dan menerima bantuan sara hidup dari kerajaan./

"Tetapi, sejuta lebih tidak melakukan saringan asas walaupun ia percuma. Bila kita berdepan keadaan sebegini tidak diketahui apakah beban sistem kesihatan negara yang sebenar, kita hanya tahu bila ramai yang sakit," katanya.

Media Baharu