fb fb fb fb fb

Tidak boleh bawa pulang sewenang-wenangnya artifak sejarah luar negara

Usaha memelihara sejarah untuk diselidik generasi kini dan masa hadapan / Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Sebarang bentuk artifak sejarah yang berada di luar negara, tidak boleh dibawa pulang sewenang-wenangnya serta perlu melalui proses berlandaskan undang-undang.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah amat mudah untuk menggunakan sentimen artifak sejarah negara yang kini dalam pemilikan serta simpanan pihak luar telah ‘dicuri’ ketika penjajahan dahulu oleh pelbagai kuasa dunia, justeru hendaklah dibawa pulang sebagai hak milik negara.

“Walaupun benar ada yang telah diambil dengan cara yang tidak betul, namun hakikatnya sepanjang peradaban sejarah negara sebelum merdeka, kerajaan-kerajaan terdahulu banyak berhubung dan berkongsi pelbagai perkara termasuk cendera kenangan yang kini menjadi artifak sejarah bersama,” titah Raja Zarith Sofiah menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Titah Raja Zarith Sofiah lagi, manuskrip juga surat-surat Raja Melayu yang dipamerkan sewaktu lawatan ke British Library pada 16 Disember lepas merupakan milik keluarga waris Sir Stamford Raffles yang telah diserahkan kepada British Library untuk tujuan penyelidikan serta simpanan.

Ini termasuk salinan hikayat-hikayat atau cetakan buku yang pada zaman penjajahan British, setiap bahan cetakan yang dihasilkan di Tanah Melayu bakal dihantar satu salinan untuk disimpan di British Library di London.

“Sebagai contoh, jika kita mempunyai surat-surat yang diutuskan kepada nenek moyang kita daripada pihak luar, adakah wajar ia dituntut oleh waris pihak yang mengutuskan surat itu sebagai hak milik mereka dan kita menyerahkannya kepada mereka? Ia merupakan bukti perhubungan antara kedua-dua pihak dan dalam konteks sejarah, wajar disimpan sebaiknya.

“Ini yang dilakukan British Library dan bermacam lagi institusi sepertinya termasuk di Malaysia sebagai usaha memelihara sejarah dan teladan untuk diselidik generasi kini dan masa hadapan.

“Salinan-salinan asal yang dipamerkan untuk rombongan Johor tempoh hari telah disimpan rapi dengan keadaan kelembapan udara yang dijaga dengan teliti agar tidak rosak,” titah Raja Zarith Sofiah.

Raja Permaisuri Agong juga bertitah artifak yang ada telah dikongsikan dalam talian secara digital untuk para penyelidik dan yang lebih utama digunakan bagi mempelajari mengenai ketamadunan bangsa di negara ini, berbanding pemilikan artifak dan dokumen semata-mata.

Asas lawatan ke British Library tempoh hari juga menggalakkan penyelidikan mengenai sejarah ketamadunan Melayu agar menjadi teladan dalam mencorak dan merancang masa depan bangsa Malaysia pada masa akan datang.

FAUZIAH ABD RAHMAN