AMPANG, 21 Disember - Kira-kira 3,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat menyertai 'Larian KITA Saturday Night Run Ampang 2025'.
Penganjurannya selain menggalakkan gaya hidup sihat turut memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Selangor.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan menyempurnakan pelepasan acara larian komuniti waktu malam itu yang berlangsung di The Campus Ampang.
Bertemakan “Run, Glow & Grow”, acara itu menawarkan dua kategori larian masing-masing 3 kilometer dan 5 kilometer.
Larian KITA sebelum ini telah dianjurkan di Kuala Selangor dan Morib di Kuala Langat dan penganjuran di Ampang kali ini memperluas capaian komuniti bandar menerusi konsep larian waktu malam yang lebih santai dan inklusif.
Selain larian, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk zumba, persembahan budaya dan muzik, aktiviti kekeluargaan serta cabutan bertuah.