KUALA KANGSAR, 21 Disember - Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI serta Sekolah Angkat MADANI di Kampung Menora, Kuala Kangsar memberi manfaat kepada penduduk menerusi pelaksanaan 22 projek fizikal dan bukan fizikal.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengakui pelaksanaan program berkenaan akan memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
"Menerusi peruntukan berjumlah RM1.2 juta untuk Kampung Manora dan dua sekolah, program seperti itu membuktikan komitmen kerajaan kepada pembangunan serta kesejahteraan komuniti.
"Saya berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya penduduk,"katanya pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di sini.
Sebagai pelengkap, Program Ziarah Kasih turut berlangsung menerusi pengagihan Bakul Rahmah kepada keluarga asnaf, hasil kerjasama JAKIM serta Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).