SHAH ALAM, 6 Jun- Tiada unsur jenayah dalam kes lelaki warga Taiwan yang maut digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, Selasa lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika mengesahkan perkara tersebut berkata siasatan kes itu kekal diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Itu kita siasat bawah SDR, tidak ada sebarang unsur jenayah. Maksudnya, tidak ada sebarang unsur kecuaian dan kita akan siasat sebagai satu siasatan SDR bawah mati mengejut.
"Daripada awal, individu tersebut memang telah diklasifikasikan sebagai SDR dan kita ada semua keterangan menunjukkan dia jatuh atas kelakuan dia sendiri," katanya kepada pemberita selepas sesi sidang media kejayaan tangkapan dadah di sini.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki berusia 63 tahun itu berjalan berseorangan sebelum terjatuh dan digilis tren LRT berkenaan.
Polis telah berhubung dengan keluarga mangsa melalui pihak kedutaan untuk tindakan lanjut.