KOTA BHARU, 10 Ogos - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan penunggang motosikal akan dikenakan tol bermula Oktober depan.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak benar dan boleh mengelirukan pengguna jalan raya.
Pihaknya juga tidak pernah mempunyai perancangan ke arah itu dan dakwaan itu satu fitnah.
"Ini tidak betul, dan fitnah. Ia boleh menimbulkan kesan dalam kalangan rakyat. Ia tidak pernah dicadangkan dan saya tegaskan ia tidak betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan FT003 Dari Persimpangan Melor- Ketereh Ke Kampung Pak Badol , Kelantan di Kampung Pak Badol, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Semalam, tular di media sosial apabila pemilik laman sosial Ebidmotor.com mencetuskan polemik ramai apabila memuat naik hantaran penunggang motosikal akan merasai pengalaman membayar tol mulai Oktober ini.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini termasuk bagi penunggang motosikal.
LLM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyifatkan hantaran itu sebagai maklumat tidak benar yang mengelirukan orang ramai serta berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal.
Ia juga dilihat sebagai tindakan untuk menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya terbabit.