fb fb fb fb fb

Lebih 1,500 sertai Program Penyemarakan Seni Budaya

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Lebih 1,500 penduduk Parlimen Bandar Tun Razak menyertai Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Program dua hari bermula semalam itu merupakan inisiatif memasyarakatkan seni budaya melalui pengisian berbentuk pendidikan, persembahan kesenian, serta aktiviti berorientasikan kekeluargaan dan komuniti.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penganjuran program itu sekali gus menjadi jambatan penghubung dan mengukuhkan perpaduan antara lapisan masyarakat.

"Seni dan budaya merupakan nadi kepada pembinaan sesebuah tamadun. Ia bukan sahaja lambang kreativiti dan estetika, tetapi juga tonggak nilai, jati diri dan penyatuan rakyat.

"Apabila seni dan budaya dibawa ke peringkat komuniti, kita sebenarnya sedang menyuburkan semangat patriotisme yang amat diperlukan dalam dunia serba mencabar ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di ibu negara.

Antara acara yang diadakan termasuk eksplorasi pantun, senam seni, persembahan pentas, sukan rakyat, Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI serta jualan produk komuniti setempat.

Dalam program sama, turut diadakan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bandar Tun Razak.

Datuk Seri Dr Wan Azizah turut menyeru masyarakat supaya menanam rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

"Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran anak-anak tentang sejarah serta asal-usul kegemilangan negara," katanya lagi.

Program Penyemarakan Seni Budaya merupakan inisiatif JKKN yang diadakan di setiap negeri bagi mempromosi dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI