HULU SELANGOR, 10 Ogos - Kerajaan komited memperkukuh latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pertanian berteknologi tinggi bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi permintaan industri serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja import.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan semua institut latihan pertanian di seluruh negara melaksanakan pendekatan pengajaran 30 peratus teori di kelas dan 70 peratus latihan praktikal di lapangan.
"Majlis TVET Negara bersedia membantu mana-mana institut latihan pertanian di seluruh negara untuk melatih anak-anak muda yang berminat dalam bidang pertanian, khususnya teknologi pertanian berteknologi tinggi.
"Kita yakin modul yang telah tersedia selama ini adalah baik, namun pada hemat saya penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan juga kaedah pedagogi pengajaran yang sesuai perlu diterapkan bagi meningkatkan keberkesanan kursus TVET ini," katanya.
Bagi menarik minat anak muda, graduan TVET yang memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Malaysia (CJPM) Tahap Tiga ditawarkan gaji minimum RM3,000, manakala pemegang CJPM Tahap Lima yang setara diploma berpotensi memperoleh gaji sekitar RM5,000.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Ehsan Dairy Farm di Ladang PKPS Sungai Tengi, di sini.
Katanya, kadar kebolehpasaran graduan TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini mencecah 98.7 peratus berbanding purata kebangsaan 95.1 peratus, membuktikan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang ini.