BUKIT MERTAJAM, 10 Ogos - Usaha membangunkan bakat tempatan dalam industri kereta elektrik (EV) perlu seiring dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, ia penting dalam memastikan ekosistem industri tersebut terus mendapat kerjasama pusat latihan kemahiran kerajaan mahupun swasta dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi.
"Bagi mencapai sasaran kerajaan sudah tentu kita memerlukan mekanik dan jurutera automotif yang pakar untuk mengendalikan kenderaan elektrik.
"Jadi ini merupakan satu usaha yang baik dan akan memberikan ataupun menyediakan peluang kepada anak muda yang berminat dalam industri ini, sebab tak banyak pusat latihan seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memorandum Perjanjian antara EV PLUS Mobility Solutions dan SLC Auto Academy bagi Memajukan Mobiliti Hijau dan Pembangunan Bakat di sini.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Memorandum Perjanjian antara EV PLUS Mobility Solutions dan SLC Auto Academy yan ditandatangani Pengasas SLC Auto Academy, Ooi Lye Oo dan Ketua Pegawai Operasi EV Plus Mobility, Jayson Peh.
Kerjasama yang dijalankan antara kedua-dua pihak merupakan langkah penting dalam meletakkan Pulau Pinang ke arah negeri hijau dan mampan pada masa depan.
Ia sekali gus selari dengan dasar kerajaan dalam menggalakkan penggunaan EV dan karbon rendah.
Sementara itu, pelajar Muhammad Faris Danial Abdullah yang mengikuti pengajian dalam sijil teknologi automatif menyifatkan ia sebagai platform terbaik dalam melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran yang semakin popular selari dengan arus perdana.
"Saya dapat banyak pengalaman dekat sini, selain berpeluang mendalami perkara berkaitan enjin. Saya diajar dengan lebih terperinci.
"Saya masuk dekat sini dari 14 tahun, dan saya memang minat dalam enjin. Jadi ini memang peluang terbaik untuk saya terus mendalami dan memahami perkara berkaitan enjin," katanya.
Bagi Loo Han Jie yang juga seorang pelajar berpendapat ia merupakan ruang untuk terus mendalami bidang berkaitan kenderaan elektrik.
"Saya memang minat dalam bidang ini dan kereta. Jadi ini memang sesuai untuk semua yang meminati bidang ini. Pelajar turut diberikan elaun, pinjaman selain ilmu yang diberikan daripada tenaga pengajar," katanya.