KOTA KINABALU, 10 Ogos - Proses bedah siasat mayat Zara Qairina Mahathir masih diteruskan pasukan forensik.
Menurut peguam keluarga mangsa, Hamid Ismail, prosedur itu memerlukan penelitian mendalam bagi memastikan setiap bukti fizikal direkodkan dengan tepat.
Jelasnya, tempoh masa panjang itu adalah normal bagi kes berprofil tinggi, terutamanya apabila terdapat permintaan rasmi.
"Bedah siasat masih dijalankan, jadi kemungkinan akan mengambil masa sejam setengah atau dua jam. Namun, diharapkan dapat selesai lebih awal, bergantung kepada proses bedah siasat.
"Selepas selesai, jenazah akan dibungkus semula dan dibawa terus ke Sipitang untuk pengebumian," katanya ketika ditemui media di Hospital Queen Elizabeth l di sini.
Tegasnya, keluarga mangsa mahu kebenaran sepenuhnya terdedah tanpa sebarang keraguan.
Ketika ini, polis masih mengawal ketat kawasan sekitar dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak hospital.
Orang ramai yang hadir tetap setia menunggu walaupun proses dijangka berlarutan hingga lewat petang.