KUALA NERUS, 10 Ogos - Bunyi siren amaran tsunami yang bergema sehingga dua kilometer dari Seberang Takir pagi tadi hanyalah ujian sistem oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu.
Pengarahnya, Rosli Zakaria, berkata sesi itu dijalankan pada pukul 10.45 pagi, bagi menguji keupayaan sistem amaran yang dinaik taraf dan dipasang pada menara baharu setinggi 16 meter, menggunakan teknologi dari Denmark.
“Menara baharu ini mampu memberi jarak amaran lebih jauh, sehingga dua kilometer, bergantung kepada keadaan cuaca dan muka bumi,” katanya.
Menara di Seberang Takir merupakan yang keempat di Terengganu, selain di Besut, Dungun dan Kemaman. Setiap menara dianggarkan bernilai lebih RM100,000 dan dibina oleh Bahagian Teknikal Cuaca dan Gempa Bumi MetMalaysia.
Menurut Rosli, maklumat dan data amaran tsunami dikendalikan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional di ibu pejabat MetMalaysia, Petaling Jaya.
Sesi ujian turut dihadiri wakil penduduk, agensi keselamatan dan jabatan perikanan.