KOTA BHARU, 6 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan lebih RM56 juta hasil bayaran saman melalui inisiatif Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) yang diperkenalkan sejak Januari lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata jumlah itu melibatkan sebanyak 374,024 saman yang telah diselesaikan setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kutipan itu masih rendah kerana hanya mewakili sekitar 20 peratus daripada keseluruhan jumlah saman yang dikeluarkan.
“Kita harap orang ramai jangan tunggu saat akhir untuk bayar saman kerana dikhuatiri berlaku kesesakan. Saluran bayaran telah dibuka termasuk di kaunter, aplikasi MyJPJ, kiosk dan kemudahan bergerak (mobile),” katanya kepada media selepas Operasi Khas Motosikal sempena Ops Khas Aidiladha (HRAA) di sini, hari ini.
Tawaran kadar kompaun khas itu akan berakhir pada 30 Jun 2025.
Sementara itu, Muhammad Kifli turut berkata, sejak pelaksanaan Ops Khas Motosikal bermula tahun lalu, JPJ telah mengeluarkan lebih 1.1 juta notis saman atas pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah itu, 848,885 notis dikeluarkan pada tahun 2024, manakala 283,255 notis dikeluarkan sepanjang tahun ini sehingga kini.
Antara kesalahan utama yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Bagi pelaksanaan Ops HRAA 2025, seramai lebih 2,000 anggota penguat kuasa JPJ terlibat, dengan tumpuan terhadap penunggang motosikal yang melanggar peraturan jalan raya.