KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memberi keutamaan terhadap penghasilan tenaga profesional dalam kalangan pelajar bumiputera, khususnya sektor-sektor strategik dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara.
Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud berkata, angka pengeluaran pelajar bumiputera di universiti awam peringkat ijazah sarjana menyaksikan peningkatan, antaranya dalam bidang kejuruteraan, arkitek, seni bina dan sijil profesional.
"Bilangan keluaran pelajar bumiputera di universiti awam peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan adalah seramai 10,274 pelajar pada tahun 2023, manakala 10,342 pelajar pada tahun 2024.
"Bagi bidang arkitek pula, keluaran pelajar bumiputera di universiti awam adalah seramai 3,327 pelajar pada tahun 2023 dan 3,781 pelajar pada tahun 2024," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengenai jumlah keluaran dan prestasi pelajar bumiputera dalam bidang profesional.
Tambah beliau, jumlah pengambilan persijilan profesional di bidang kejuruteraan dalam kalangan bumiputera turut meningkat daripada 15,668 orang pada tahun 2023 kepada 16,277 orang pada tahun 2024.
Sementara persijilan profesional dalam bidang arkitek pula meningkat daripada 1,036 orang pada tahun 2023 kepada 1,066 orang pada tahun 2024.