KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia menyeru negara-negara ASEAN agar memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan melaksanakan pembaharuan struktur berterusan sebagai langkah strategik untuk berdepan ketidaktentuan geoekonomi dan geopolitik global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dunia sedang berdepan perubahan pantas yang menggugat rantaian bekalan, sistem perdagangan dan norma korporat antarabangsa, justeru memerlukan pendekatan lebih berani dan bersatu dalam kalangan negara serantau.
"Kita mesti ingat dalam dunia yang berpecah-belah, geoekonomi bukan lagi satu pilihan. Bagi Malaysia dan ASEAN, cabarannya ialah menukar geografi kita menjadi strategi, kenetralan kita menjadi kekuatan, dan keterbukaan kita menjadi peluang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Dasar Awam PRAXIS 2025 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, di ibu negara hari ini.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut menekankan kepentingan ASEAN dalam mendukung prinsip tidak berpihak dan bersedia berdialog dengan semua rakan strategik.
Mengulas isu tarif, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa ia menjadi cabaran kepada perpaduan ASEAN, namun pendekatan blok itu untuk tidak membalas merupakan satu kekuatan.
Malaysia kekal fokus melaksanakan pelbagai agenda transformasi utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memacu inovasi, keterangkuman dan daya tahan jangka panjang.
Malaysia kini telah menandatangani sembilan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala serta sembilan FTA serantau, termasuk RCEP dan CPTPP, sejajar komitmen terhadap sistem perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga telah membentangkan 18 Keberhasilan Ekonomi Utama (PED), dengan lebih separuh sasaran perdagangan telah dicapai. Ini termasuk pemuktamadan rundingan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan ASEAN-China (ACFTA) yang dijangka ditandatangani Oktober depan.
Beliau turut merujuk kepada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta cadangan Rangka Kerja ASEAN mengenai Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS) sebagai antara langkah penting ke hadapan.