fb fb fb fb fb

Syarikat perlu perkukuh daya saing, kekal relevan dalam rantaian global

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Syarikat-syarikat di Malaysia dan ASEAN perlu memperkukuh keupayaan masing-masing supaya kekal relevan dalam rantaian bekalan global, terutamanya dalam landskap perdagangan antarabangsa yang semakin mencabar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keupayaan sesebuah syarikat untuk kekal berdaya saing akan menentukan keupayaan produk mereka untuk menembusi pasaran, meskipun berdepan tarif atau sekatan bukan tarif.

"Adalah keperluan untuk kembali kepada asas dengan memastikan mereka menjadi entiti yang tidak boleh diketepikan. Untuk mencapai tahap ini, syarikat perlu menguasai teknologi terkini, meningkatkan tahap produktiviti dan kecekapan, serta memastikan daya saing mereka setanding dengan piawaian global.

"Walau apa jua tarif atau sekatan bukan tarif yang dikenakan, termasuk pelbagai halangan lain, jika sesuatu produk itu merupakan satu keperluan dan cukup kompetitif, ia tetap akan mendapat permintaan.

"Oleh itu, syarikat-syarikat sedia ada perlu diperkukuh agar mampu bertahan dan bersaing dalam pasaran global." katanya semasa sesi Fireside Chat bersama komuniti perniagaan ASEAN sempena Forum ABCD 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di ibu negara hari ini.

Kerajaan akan terus memainkan peranan memudahkan pelaburan masuk dan membantu syarikat menembusi pasaran luar. Namun, katanya, daya tahan dan daya saing syarikat itu sendiri adalah kunci kejayaan sebenar.

Sesi tersebut turut menyentuh peranan Pelan Induk Perindustrian Baharu, pelaburan hijau dan strategi-strategi pelbagai agensi dalam memperkukuh sektor perindustrian negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI