KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kerajaan komited memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 Ogos depan dapat meliputi semua sektor kumpulan itu di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan merupakan tindakan susulan selepas sesi libat urus yang diadakan bersama penggiat ekonomi gig kira-kira dua bulan lalu.
"Ini adalah ekoran daripada sesi libat urus yang telah kami adakan dua bulan yang lalu dan ini merupakan tindakan susulan sebelum pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig ini dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 14 Ogos.
"Manakala bacaan kali kedua iaitu pembentangan dan diperbahaskan serta undian jika perlu pada 26 haribulan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig bersama lebih 400 pekerja gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Sselepas diluluskan di Dewan Rakyat, rang undang-undang itu akan dibawa ke Dewan Negara sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan bagi digazetkan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM) akan menjadi langkah susulan seterusnya selepas kelulusan RUU berkenaan.
"Saya telah menyarankan tadi bahawa pertemuan di antara pekerja gig dan juga platform diadakan semula pada 30 Ogos untuk kita memberikan dokongan kepada Menteri Sumber Manusia.
"Insyaa-Allah atas kejayaan pembentangan RUU ini dan tentu akan ada beberapa saranan bagi pelaksanaan sebab terdapat beberapa kekeliruan berikutan terdapat sektor-sektor tertentu yang belum dimasukkan di dalam jadual kepada undang-undang ini," katanya lagi.
Dana yang dicadangkan bagi membantu pekerja gig akan diletakkan bawah tanggungjawab Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM), dan kerajaan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak, termasuk sektor-sektor kecil yang terlibat dalam ekosistem ekonomi gig.
RUU tersebut dijangka memberi perlindungan lebih menyeluruhkepada golongan pekerja gig termasuk rider penghantaran makanan, pemandu e-hailing serta freelancer digital.
Sesi berkenaan turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof, pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan wakil-wakil industri gig.