BUTTERWORTH, 6 Jun - Peniaga mikro dan kecil menarik nafas lega susulan selepas kerajaan memberi kelonggaran penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi secara berperingkat yang berakhir 31 Oktober ini.
Langkah itu disifatkan sebagai ruang penting kepada peniaga mikro dan kecil untuk menilai semula kos operasi harian mereka sebelum pelaksanaan sepenuhnya dibuat.
Peniaga makanan, Selvi Perumal, berkata tempoh tiga bulan yang diberikan membantu mereka bersedia secara kewangan.
“Tiga bulan tu bolehlah nak sesuaikan diri. Sekarang ni gas RM30, kalau naik RM10 pun kita boleh terima, asalkan jangan sampai RM70. Kita pun nak hidup, nak bayar gaji, nak makan,” katanya.
Bagi peniaga lain, Muhamad Nazrol Amin, keputusan kerajaan itu dilihat langkah bijak dalam mengimbangi pengurusan subsidi dan keperluan rakyat.
“Mungkin ini usaha kerajaan nak kurangkan hutang negara, tapi jangan abaikan peniaga kecil. Mereka ni modal pun tak besar, jadi eloklah kalau dibuat secara berperingkat,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Syarimi Syarul Nazni berkata harga LPG komersial terlalu tinggi akan memberi kesan kepada pengguna kerana harga jualan makanan perlu dinaikkan.
“Kalau tong gas RM70, kita nak jual makanan pun jadi mahal. Tak munasabah untuk pelanggan. Lebih baik kerajaan lanjutkan dulu tempoh dan tengok semula keadaan ekonomi,” katanya.
Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk membenarkan penggunaan LPG bersubsidi oleh peniaga mikro dan kecil sehingga pindaan peraturan dimuktamadkan.
Pindaan dijangka diselesaikan selepas berakhirnya Ops Gasak pada 31 Oktober akan datang.